Lelaki ditangkap, disyaki serang lelaki lain di lokasi kemalangan

Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

KUCHING, 21 April: Seorang lelaki ditangkap kerana dikatakan menyerang seorang lelaki sehingga menyebabkan kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek,42 tahun, ditangkap susulan laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga mangsa yang terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Katanya, suspek dikatakan menyerang mangsa di lokasi kemalangan maut di Jalan Astana membabitkan sebuah lori dan motosikal pada hari Rabu (20 April).


“Punca kejadian disebabkan salah faham, di mana semasa kejadian mangsa yang cuba memberi bantuan kecemasan kepada penunggang motosikal telah disalah anggap oleh suspek sebagai pemandu lori terbabit.

“Mangsa dipukul oleh suspek dengan menggunakan sebatang kayu rotan.

“Bertindak kepada maklumat, suspek berjaya ditangkap pada jam 11.30 pagi di Kampung Astana Lot,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya juga, turut dirampas ialah senjata yang digunakan suspek semasa kejadian iaitu sebatang kayu rotan.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman tersebut.

“Permohonan reman ke atas suspek akan dipohon pada 22 April pada jam 9 pagi di Mahkamah Majistret Kuching,” katanya. — DayakDaily