BAU, 15 Mac: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki menjual loteri haram di pasar basah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata anggotanya di bawah Op Dadu telah melakukan pemeriksaan di lokasi selepas menerima maklumat.
Jelasnya, hasil serbuan berjaya membongkarkan kegiatan suspek berusia 39 tahun itu yang menjual loteri awam tanpa lesen.
“Serbuan dilakukan sekitar jam 10 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau dan telah menangkap seorang lelaki yang disyaki sedang menjalankan aktiviti loteri awam tanpa lesen.
“Turut dirampas daripada suspek ialah telefon bimbit dan wang tunai sekitar RM723,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, suspek dan barang rampasan kemudian di bawa ke IPD Bau untuk tindakan selanjutnya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM 200,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun penjara,” jelas Poge. — DayakDaily