Lelaki ditangkap cuba seludup lima PATI pakai kereta di Lundu

Datu Ken Leben

KUCHING, 18 Nov: Jabatan Imigresen Malaysia, Sarawak dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menumpaskan cubaan menyeludup lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Lundu, hari ini.

Pengarah JIM Sarawak Datu Ken Laben berkata seorang lelaki tempatan juga ditangkap dalam operasi tersebut yang dilakukan sekitar jam 6 pagi iaitu hasil daripada maklumat dan risikan yang dijalankan.

Difahamkan, pasukan operasi menahan sebuah kereta yang dilihat mencurigakan yang datang dari arah Jalan Lundu.

“Siasatan awal mendapati terdapat lima PATI yang dibawa oleh pemandu tersebut dipercayai telah masuk melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Turut dirampas dalam tangkapan tersebut juga ialah lima lima naskah Pasport Republik Indonesia dan lima laporan Pemeriksaan Covid-19 dengan keputusan negatif milik kesemua PATI terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, suspek tempatan tersebut juga disiasat SPRM kerana cubaannya memberi suapan RM1,500 kepada anggota operasi.

“Kesemua PATI kemudian dibawa ke Pejabat Unit Operasi Khas di Simpang Tiga bagi tujuan proses dokumentasi dan dijadualkan akan membuat saringan Covid-19 mengikut prosedur operasi ‘standard’ (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. — DayakDaily