KOTA SAMARAHAN, 12 April: Seorang lelaki disyaki tokan dadah ditangkap kerana didapati memiliki 40 keratan tiub straw berisi dadah jenis syabu di Kampung Empila, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata lelaki berusia 26 tahun terbabit ditangkap dalam satu operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik selepas dilihat mencurigakan di tepi jalan kampung tersebut sekitar jam 3 petang.
Jelasnya, pemeriksaan ke atas beg kecil yang dibawa suspek menjumpai empat paket plastik lutsinar yang setiap satu berisi 10 keratan tiub straw mengandungi syabu.
“Didapati setiap satu keratan tiub straw lutsinar tersebut berisi ketulan kristal disyaki syabu dengan berat keseluruhan dianggarkan 7.85 gram.
“Selain itu, saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Siasatan awal dipercayai dadah tersebut adalah untuk pasaran tempatan dan untuk kegunaan sendiri (suspek).
“Siasatan masih giat dijalankan untuk mendapatkan maklumat lanjut serta mengesan individu lain yang terlibat,” katanya. — DayakDaily