MIRI, 1 Mei: Seorang lelaki yang bertindak membelasah isterinya dan menumbuk dua anggota polis ditahan untuk siasatan pada petang Jumaat (30 April).
Pada Jumaat, sekitar jam 2 petang di sebuah runah di Pujut Corner di sini, suspek berusia 30 tahun telah bertindak membelasah isterinya kerana mangsa enggan memberikannya wang.
Difahamkan, suspek memerlukan duit untuk membeli bekalan dadah.
Susulan kejadian, satu laporang polis telah dibuat oleh mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci pinggan.
Bertindak dari laporan tersebut, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Miri (JSJ) IPD Miri telah ke rumah mangsa untuk menangkap suaminya sekitar jam 4 petang.
Namun suspek bertindak agresif dan telah menumbuk dua anggota JSJ.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, pergelutan telah berlaku dan dua anggotanya mengalami kecederaan pada muka dalam kejadian namun suspek berjaya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.
Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 353/323/506 Kanun Keseksaan. — DayakDaily