Lelaki ditahan jual loteri awam tanpa lesen di Bau

Anggota operasi menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Juetila Ozzy

BAU, 23 Mac: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menjual loteri haram di sebuah kedai makan, di sini pada hari Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata suspek berusia 46 tahun dan berasal dari Sungai Tapang, Batu Kawa, Kuching.


Poge memberitahu anggotanya sekitar jam 11.00 pagi telah menjalankan operasi ‘Op Dadu’ dan telah menyerbu sebuah kedai makan di Jalan Ong Guan Cheng.

“Pasukan serbuan kemudian bertindak menangkap suspek di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Turut dirampas ialah telefon pintar, wang tunai, kertas-kertas bertulis angka-angka disyaki loteri awam (haram),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, suspek jika didapati bersalah boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM200,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun.

“Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu kini masih direman untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily