Lelaki disyaki ugut bapa cuba lari terjun sungai, gagal elak polis

Suspek (tengah) ditahan polis kerana disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap bapa kandungnya sendiri.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 12 Jan: Seorang lelaki telah ditahan polis untuk siasatan lanjut pagi tadi kurang 24 jam selepas disyaki mengamuk dan mengugut bapa kandungnya.

Tangkapan dilakukan sekitar jam 9.25 pagi tadi oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri susulan laporan yang diterima daripada mangsa berhubung kejadian.


Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9 malam itu, suspek berusia sekitar 40an dikatakan telah mengamuk dengan menendang pintu rumah apabila mangsa enggan meminjamkan keretanya kepada suspek.

Bukan itu sahaja, malah suspek turut mengugut bunuh mangsa yang berusia 69 tahun itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek telah ditahan di sebuah rumah di Pujut 3 untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, semasa anggota JSJ tiba di rumah tersebut, suspek telah terjun keluar melalui tingkap belakang rumah berhampiran sungai apabila menyedari kehadiran pihak polis, namun tindakan pantas anggota JSJ berhasil menangkap suspek.

Suspek kini sedang ditahan di Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut. — DayakDaily