Lelaki disyaki rogol remaja perempuan ditahan polis

Arrest - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 14 Jan: Polis Miri pada awal pagi Rabu menahan seorang lelaki berusia 48 tahun yang disyaki merogol seorang remaja perempuan berumur 16 tahun, hanya sejam selepas menerima aduan daripada mangsa berkenaan.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, remaja perempuan berkenaan pada mulanya diajak keluar oleh suspek yang dikenalinya sejak 2019 menerusi aplikasi Wechat sekitar September tahun lepas (2020) ke sebuah hotel murah di sini selepas sesi minum bersama.


Siasatan awal mendapati, mangsa yang tidak lagi bersekolah dan suspek telah mabuk semasa berada di hotel tersebut.

“Namun, saat mangsa bangun dari tidur keesokannya, dia terkejut apabila melihat suspek berada di atasnya,” ujar ACP Hakemal.

Suspek, seorang warga tempatan telah ditahan di sebuah rumah di Piasau pada jam 2 pagi untuk membantu siasatan dalam kes tersebut.

Hakemal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. — DayakDaily