JTS Limbang buka kaunter bermula 18 Januari ini

Land and Survey Department

KUCHING, 14 Jan : Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Limbang akan membuka kaunter perkhidmatan di Pejabat Daerah Kecil Sundar, Lawas bermula 18 Januari ini.

JTS menerusi satu kenyataan berkata, pembukaan kaunter tersebut adalah untuk memudahkan urusan hal ehwal perkhidmatan pentadbiran tanah khususnya bagi masyarakat di sekitar Daerah Lawas.

Katanya, kaunter tersebut akan menyediakan perkhidmatan asas seperti pembayaran cukai dan premium tanah, penerimaan suratcara transaksi pendaftaran tanah, pemohonan tanah, pemohonan perlanjutan tempoh hakmilik tanah serta khidmat nasihat umum berkaitan urus tadbir tanah.


“Dengan adanya kaunter perkhidmatan ini ianya akan memberi peluang secara bersemuka kepada masyarakat di Daerah Lawas yang menghadapi kesukaran untuk berurusan di pejabat JTS Bahagian Limbang ekoran penularan pandemic Covid-19,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, selain berurusan secara terus di kaunter perkhidmatan, JTS turut menyediakan perkhidmatan atas talian menerusi aplikasi Mobile Lasis menggunakan telefon pintar.

Aplikasi tersebut ujarnya boleh dimuat turun daripada ‘Play Store’ atau ‘App Store’.

“Selain perkhidmatan terbabit, JTS juga menawarkan perkhidmatan atas talian iaitu e-Lasis yang dapat dilayari dengan menggunakan komputer,” tambah kenyataan itu.

Tegas kenyataan itu, prosedur operasi standard (SOP)yang ketat bagi pengoperasian pejabat turut di tetapkan bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

Antaranya dengan mencatatkan maklumat pelanggan yang hadir, mengambil bacaan suhu badan, penggunaan cecair pembasmi kuman serta melaksanakan sanitasi peralatan kaunter dari semasa ke semasa. — DayakDaily