Lelaki disyaki miliki dadah dicekup

Gambar komposit menunjukkan suspek yang ditahan dan dadah yang dirampas.

BELAGA, Ogos 15: Padah disyaki memiliki dadah seorang lelaki ditahan dalam satu serbuan di kedai makan di Sungai Asap dekat sini semalam.

Lelaki berusia 30-an itu dicekup oleh sepasukan anggota polis selepas menerima maklumat awam tentang kegiatan yang dilakukan suspek berkenaan.

Jurucakap polis berkata, susulan maklumat dan risikan yang dilakukan, pasukan polis kemudian melakukan satu serbuan di sebuah kedai makan di Sungai Asap.


Katanya, semasa serbuan itu, lelaki tempatan berkenaan tergamam apabila menyedari kehadiran anggota polis.

“Hasil pemeriksaan, anggota polis menemui satu botol plastik kecil dan di dalamnya mengandungi satu keratan tiub straw lutsinar yang berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Anggota polis kemudian merampas dadah seberat 0.5 gram itu dan memberkas suspek untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, jurucakap sama menambah, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, suspek kini ditahan di Balai Polis Belaga untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika didapati bersalah, suspek boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara tidak melebihi 2 tahun,” ujarnya lagi. — DayakDaily