Lelaki dipercayai dibaham buaya ditemui mati di Batu Niah

Pasukan Bomba mengangkat mayat mangsa.

BATU NIAH, 13 Mei: Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kecederaan dipercayai akibat dibaham buaya di Sungai Sandai berhampiran Rumah Panjang Sangan, Suai hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa ditemui penduduk kampung dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terus melaporkannya pada jam 10.33 pagi.

“Pasukan Bomba tiba di lokasi kira-kira 70 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah pada jam 12.57 tengah hari.

“Setibanya didapati benar ada seorang mangsa dipercayai dibaham buaya dengan kesan gigitan buaya di tangan kanannya.

“Mangsa dijumpai penduduk kampung 10 meter dari pukat yang dipasang olehnya (mangsa),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Difahamkan mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba menggunakan PPE yang lengkap bagi mengangkat mayat mangsa ke darat dan menyerahkan kepada polis,” katanya.

Mangsa berusia 50 tahun dikatakan keluar seorang diri ke Sungai Sandai untuk memasang pukat pada Rabu (12 Mei) sekitar jam 5 petang. — DayakDaily