Lelaki dikhuatiri lemas semasa mandi di Sungai Sebauh

Kelihatan baju dan kasut milik mangsa yang ditemui di tebing Sungai Sebauh.

SEBAUH, Julai 26: Seorang lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas dikatakan hendak mandi di Sungai Sebauh di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa, David Hidup, 36, dilaporkan hilang selepas turun ke dalam sungai berkenaan.

Jurucakap bomba berkata, menurut saksi, sebelum kejadian itu, mangsa dikatakan membuka pakaian dan kasutnya sebelum terus berjalan menuju sungai.


Bagaimanapun kata jurucakap sama, kelibat mangsa terus hilang dan dia tidak muncul di permukaan sungai selepas itu.

“Panik melihat kejadian itu, saksi kemudian menghubungi pihak bomba untuk tindakan selanjutnya,” kata jurucakap bomba di sini hari ini.

Jurucakap bomba menambah, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu kemudian bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut.

Kata jurucakap itu, apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba kemudian bertindak membuat pemantauan di tebing sungai berkenaan dan hanya menemui baju dan kasut milik mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada pukul 5.30 petang dan akan disambung pagi esok.

“Sehingga kini mangsa masih belum dijumpai,” ujar jurucakap bomba lagi. — DayakDaily