Lelaki dikhuatiri hilang di laut semasa cari ketam

Pasukan bomba sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Advertisement

Oleh Dean Adam

LIMBANG, Jun 10: Seorang lelaki yang turun ke laut untuk menangkap ketam dilaporkan hilang di Kuala Sibukang di sini hari ini.

Mangsa, Jimney Abdullah @ Tan Hui Ming, 38, dikatakan hilang selepas dikhuatiri terjatuh ke dalam laut.

Advertisement

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.15 petang.

Katanya, sebelum itu bapa tiri kepada mangsa telah membuat laporan polis menyatakan anaknya dikhuatiri hilang di laut.

“Mangsa dikatakan hilang berkemungkinan terjatuh setelah diberitahu oleh nelayan kampung menjumpai bot sampan mangsa.

“Sebelum itu, mangsa telah keluar bersendirian ke laut pada pukul 6.30 pagi tadi dan bertolak dari Jeti Kampung Sibukang untuk mencari ketam,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, bapa mangsa memberitahu penduduk kampung ada menjumpai bot sampan pada pukul 12 tengah hari, namun mangsa sendiri tidak dijumpai.

Katanya, sampan milik mangsa tersebut dijumpai oleh rakan mangsa di Muara Sungai Sibukang.

“Buat masa ini, mangsa masih belum ditemui dan maklumat lanjut akan dikemaskini dari masa ke semasa,” katanya. — DayakDaily

Advertisement