Padah terpedaya dapat khidmat seks, seorang lelaki warga emas lesap RM800 diugut 3 lelaki

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

SIBU, Jun 10: Padah terpedaya dengan tawaran khidmat seks, seorang lelaki warga emas lesap wang sebanyak RM800 akibat disamun sekumpulan tiga lelaki dalam satu kejadian di sebuah rumah tumpangan di Jalan Central, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 67 tahun tersebut, bukan sahaja lesap wang tunai, namun turut kehilangan dokumen pengenalan diri.


Menurut sumber, sebelum insiden berkenaan, mangsa telah ditawarkan khidmat seks oleh seorang wanita di sebuah rumah tumpangan di situ.

Katanya, mangsa yang dibawa wanita berkenaan kemudian terkejut dengan kehadiran tiga orang lelaki di rumah tumpangan berkenaan.

“Mangsa kemudian diugut oleh kumpulan lelaki berkenaan dengan menggunakan sebilah pisau.

“Lelaki berkenaan yang ketakutan kemudian terpaksa menyerahkan wang gaji yang baru diterimanya kepada suspek-suspek berkenaan,” katanya di sini hari ini

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. — DayakDaily