Lelaki didenda RM4,000 akibat tumbuk anggota Bomba

Gambar rekod yang dirakam semasa kejadian tersebut berlaku.

LAWAS, 27 Ogos: Seorang lelaki dikenakan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini kerana kesalahan menyerang anggota Bomba yang sedang bertugas memadam kebakaran.

Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut pada 19 Jun lepas.

Tertuduh sekiranya gagal membayar denda tersebut akan dikenakan hukuman penjara lapan bulan.

Hukuman tersebut dijatuhkan mengikut Seksyen 51 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 Akta Pindaan 2018.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan membayar pampasan sebanyak RM1,000 ke atas mangsa di hadapan hakim mengikut Akta 426 Kanun Keseksaan.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Kampung Belipat, Jalan Punang di sini.

Dalam insiden tersebut, anggota terbabit yang sedang terlibat dalam kerja-kerja pemadaman kebakaran sebuah rumah setingkat ditumbuk tertuduh dari arah belakang.

Laporan polis telah dibuat selepas insiden tersebut berlaku. — DayakDaily