Lelaki dari Taman Tunku ditahan kerana mengugut bunuh kakak, adik

Suspek (tengah) ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 23 Mei: Sikap panas baran seorang pemuda yang sering kali mengamuk dan mengugut bunuh kakak dan adik perempuannya, membawa padah apabila dia ditahan polis semalam.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan kurang tujuh jam selepas dia dikatakan mengamuk dan melontar sebuah alat kawalan permainan video ke arah adiknya pada pagi semalam di kediaman mereka di Kampung Lusut Jaya 3, Taman Tunku.


Susulan kejadian, kakak suspek telah membuat satu laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian mata kirinya akibat dilontar menggunakan alat kawalan permainan video tersebut.

Menurut sumber, sebelum kejadian, kakak kepada suspek telah menasihatinya untuk tidak lagi bersikap panas baran, namun, suspek telah bertindak mengamuk dan mengugut bunuh kedua-dua mangsa sebelum melontar alat kawalan permainan video ke arah adiknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mwngikut Seksyen 506 Kanun Keseksaam kerana melakukan ugutan jenayah. — DayakDaily