Lelaki cemas kereta dipandu tiba-tiba terbakar

Anggota bomba sedang memadam kebakaran melibatkan sebuah kereta.

KUCHING, Julai 9: Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila Toyota Camry yang dipandunya tiba-tiba terbakar di bahagian enjinnya dalam satu kejadian di tempat letak kenderaan di Hospital Umum Sarawak di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.58 petang itu, lelaki tersebut sempat keluar menyelamatkan diri daripada terjadi perkara yang tidak diingini.

Komander Operasi, Arisa Arshad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4 petang.


Katanya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran itu melibatkan bahagian enjin kereta tersebut.

“Pasukan bomba segera membuat pemadaman menggunakan saluran bantu mula air dari tangki jentera sehingga api padam sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arisa menambah, kebakaran tersebut telah memusnahkan 100 peratus enjin kenderaan tersebut.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan susulan kejadian berkenaan.

“Operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 4.16 petang,” ujarnya. — DayakDaily