16 ACDM dilantik untuk memimpin kontinjen Sarawak dalam Sukma XIX di Perak

Snowdan (duduk kiri) mempengerusikan mesyuarat ACDM.

KUCHING, Julai 9: Seramai 16 Penolong Chef De Mission (ACDM) telah dilantik untuk memimpin 850 atlet yang mewakili kontinjen Sarawak dalam Sukma XIX 2018, yang bermula Sept 12 sehingga 22 depan di Perak Darul Ridzuan.

Mengetuai barisan tersebut sebagai Chef De Mission adalah Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan manakala timbalannya adalah Hii Chang Kee (Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan) dan Dr Ong Kong Swee (Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak).

Dr Ong turut diamanahkan sebagai ACDM untuk memimpin kontinjen bagi acara renang dan terjun manakala ACDM lain terdiri daripada Datuk Ahmad Ibrahim (berbasikal, judo), ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi (Petanque, Bola Baling).

Selain itu adalah ADUN Layar Gerald Rentap Jabu (angkat berat, tinju, ragbi), Azizul Adenan (‘lawn bowls’, taekwondo) dan Datin Mary Saadiah (hoki, gimnastik, gimrama), ADUN Tamin Christopher Gira Sambang (golf, pelayaran), ADUN Serembu Miro Simuh (sepak takraw, bola jaring).

Turut dilantik sebagai ACDM ialah ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon (muay, olahraga), Sunny Sii Poh Heng (‘tenpin bowling’, menembak), ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman (silat, futsal, bola sepak), ADUN Machan Allan Siden Gramong (memanah, karate, wushu), Allen Wong Siew Poh (wushu, bola keranjang, badminton) dan Cr Robert Lau Hui Yew (skuasy, kriket).

Menurut Snowdan, Sarawak akan menyertai kesemua 29 acara yang akan dipertandingkan menjelang Sukma XIX 2018 iaitu memanah, olahraga, akuatik, badminton, bola keranjang, tinju, kriket, berbasikal, bola sepak, futsal, golf, gimnastik, bola baling, hoki, judo, karate, ‘lawn bowls’, muay, bola jaring, petanque, ragbi, pelayaran, menembak, sepak takraw, silat, skuasy, taekwondo, ‘tenpin bowling’, angkat berat dan wushu.

“Saya berharap semua ACDM kita khususnya dapat memimpin kontinjen masing-masing dengan memberikan mereka semangat juang yang tinggi agar Sarawak dapat menjadi juara pada Sukma kali ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat ACDM di sini.

Antara peranan ACDM adalah bekerjasama sepenuhnya dengan CDM dalam pengurusan dan pentadbiran kontinjen negeri di samping bekerjasama dengan Pegawai Pembangunan Sukan dan Pegawai Majlis Sukan Negeri Sarawak menentukan sasaran yang telah ditetapkan dicapai.

Ia juga bertanggungjawab untuk menyelesaikan sebarang masaah yang timbul dalam pengurusan dan pentadbiran penyediaan pasukan sebelum, semasa dan selepas Sukma serta mengekalkan hubungan yang berterusan dengan atlet, jurulatih dan pengurus pasukan.

Selain itu adalah menghadirkan diri ke tempat latihan dan pertandingan termasuk menjadi jurucakap utama untuk semua perkara yang berkaitan dengan pasukan sukan yang dilantik serta memastikan semua pegawai pasukan yang dilantik menjalankan tugas. — DayakDaily