Oleh Dean Adam
TATAU, 26 Okt: Seorang lelaki yang mencari besi di bawah sebuah jambatan di Kampung Haji Ismail, Kuala Tatau, dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang dilaporkan hilang dikenal pasti sebagai Zaibiya Zaini, 34.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 4.01 petang.
Sejurus mendapat maklumat insiden itu, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR).
“Berdasarkan maklumat daripada adik mangsa, sebelum kejadian mangsa sedang menjalankan aktiviti mencari besi di bawah jambatan tersebut.
“Bagaimanapun, malang menimpa mangsa apabila mangsa dibawa arus sungai yang deras sebelum kelibatnya hilang,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, mangsa berkemungkinan masih berada di bawah jambatan dan bantuan unit PPDA juga digerakkan ke lokasi.
Katanya, setelah berbincang dengan pihak PPDA serta ahli keluarga mangsa, operasi SAR tersebut akan disambung semula pada pukul 8 pagi esok.
“Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan trend arus sungai di situ agak deras,” ujarnya. — DayakDaily