KUCHING, 6 Dis: Seorang lelaki dari sebuah kampung di Batu 19 Jalan Kuching-Serian ditangkap kerana didapati memiliki senjata api dan amunisi tanpa lesen.
Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek berusia 50an ditangkap di bawah Op Laras oleh anggota dari Cawangan D9 JSJ IPK Sarawak sekitar jam 11.30 pagi hari ini.
Katanya, serbuan dilakukan ke atas rumah yang dipercayai rumah suspek sendiri dan hasil pemeriksaan menemui beberapa komponen senapang patah dan senapang angin serta amunisi.
“Pemeriksaan awal mendapati suspek tidak memiliki sebarang lesen senjata api dan amunisi serta menggunakan tempat kediaman sebagai bengkel membaiki lesen tanpa lesen sah.
“Siasatan juga mendapati bahawa suspek telah memulakan kegiatannya itu sejak tiga tahun lalu bagi menambah pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suspek kemudian ditangkap dan senjata api serta senapang angin bersama komponennya turut dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8(a) dan Seksyen 9(2) Akta Senjata 1960.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. — DayakDaily