SELANGAU, 12 Sept: Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas kereta yang dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan Simpang Tamin awal pagi hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 2.25 pagi dan anggota dari Balai Bomba Selangau terus ke lokasi kejadian.
“Komander operasi mengesahkan berlaku kemalangan kendiri, di mana sebuah kereta jenis Perodua Viva terbabas lalu terjunam ke parit.
“Terdapat seorang mangsa berada di bahagian pemandu kereta tersebut.
“Pasukan Bomba bertindak mengeluarkan mangsa dan telah disahkan meninggal dunia selepas diperiksa petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Seterusnya, mayat mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Lokman Mandy,29 tahun berasal dari Kampung Dato, Sibu kemudin diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan polis berhubung kemalangan tersebut masih dijalankan. — DayakDaily