Lelaki anak tempatan calon GPS di Jepak, esok atau lusa umum

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Advertisement

KUCHING, 17 Okt: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihanraya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak adalah seorang lelaki anak tempatan, tegas Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Calon kita (GPS) adalah seorang lelaki dan akan diumumkan esok atau lusa,” katanya ketika ditemui di Majlis Konvokesyen Universiti Swinburne di Kuching hari ini.

Terdahulu Abang Johari berkata beberapa nama sudah dikenalpasti dan disemak oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Advertisement

Yang pasti jelas beliau, calon GPS dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ialah orang tempatan.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Jepak pada 4 November ini dengan 21 Okt sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 31 Okt ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 21 Oktober 2023 sehingga jam 11.59 malam, 3 Nov 2023.

Kerusi DUN Jepak diisytiharkan kosong apabila penyandangnya selama enam penggal sejak 1996, Datuk Talib Zulpilip, 72, meninggal dunia pada 15 Sept lalu. – DayakDaily

Advertisement