Calon GPS di DUN Jepak diumum esok

Gabungan Parti Sarawak (GPS) logo (file photo)

KUCHING, 17 Okt: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihanraya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak akan diumumkan esok.

Menurut sumber dari Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), pengumuman akan dibuat pada jam 4 petang di sebuah hotel di Bintulu esok.

Dalam pada itu, Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di satu majlis di Kuching hari ini berkata, pilihan calon GPS adalah seorang lelaki anak tempatan.


Terdahulu beliau memaklumkan beberapa nama telah disemak dan ditapis oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, GPS mahukan calon yang bersih dan berwibawa bagi memastikan kemenangan besar.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK DUN Jepak pada 4 November ini dengan 21 Okt sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 31 Okt ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 21 Okt 2023 sehingga jam 11.59 malam, 3 November 2023.

Kerusi DUN Jepak diisytiharkan kosong apabila penyandangnya selama enam penggal sejak 1996, Datuk Talib Zulpilip, 72, meninggal dunia pada 15 Sept lalu.

Allahyarham meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah pada jam 5.50 petang akibat beberapa komplikasi seperti buah pinggang, hati, jantung dan kencing manis. — DayakDaily