Lelaki acu parang terhadap penyelia direman 4 hari

Anggota polis mengiringi suspek keluar dari Mahkamah Limbang.

Oleh Dean Adam

LIMBANG, Nov 17: Seorang lelaki direman empat hari bermula hari ini selepas mengacukan sebilah parang terhadap penyelianya di sini semalam.

Lelaki berusia 31 tahun itu diperintah oleh Mahkamah Limbang untuk direman selepas dipercayai mengacu parang ke atas wanita berusia 34 tahun.

Menurut sumber, kejadian berlaku pada 2.15 petang selepas suspek dikatakan tidak berpuas hati dengan wanita berkenaan.

Katanya, perasaan tidak puas hati itu tercetus selepas suspek menerima merit rendah dalam prestasi sasaran kerja tahunan.

“Suspek dan penyelia berkenaan dikatakan bekerja di Bahagian Kewangan Hospital Limbang.

“Sebelum ini, suspek dikatakan memperoleh merit yang agak tinggi berbanding apa yang diperoleh untuk tahun ini,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Limbang, Supt Mohd Bukhori Saffai mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Jelasnya, sebelum itu, suspek telah diberkas di Kampung Patiambun di sini.Ā ā€” DayakDaily