BETONG, 19 SEPTEMBER: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas ditetak menggunakan parang panjang pada 16 September baru-baru ini.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku sekitar jam 7.44 malam apabila seorang lelaki berusia 24 tahun tiba-tiba mengamuk dan menyerang penduduk rumah panjang.
Susulan itu, mangsa yang berusia 57 tahun dikatakan cuba menyelamatkan keluarganya dengan melarikan diri dari rumah panjang menggunakan sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Betong DSP Zamry Alli dalam kenyataan medianya berkata kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki mangsa dan keluarganya itu bagaimanapun tiba-tiba rosak.
“Kereta yang dipandu mangsa mengalami kerosakan dan suspek dengan berjalan kaki membawa sebilah parang menuju ke arah mangsa.
“Mangsa ditetak dan dibunuh di tempat kejadian,” katanya.
Ahli keluarga mangsa dikatakan sempat menyelamatkan diri dengan bersembunyi di dalam semak berdekatan.
Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong hadir di lokasi kejadian dan diberitahu bahawa suspek masih berada di rumah panjang.
“Suspek kemudian diarahkan menyerah diri kepada polis, tetapi dia telah bertindak agresif serta menyerang menggunakan sebilah parang panjang dan kayu.
“Untuk mempertahankan diri, pihak polis telah melepaskan tembakan ke arah suspek,” katanya.
Tambahnya, suspek meninggal dunia di lokasi kejadian.
Zamry turut memberitahu, suspek dipercayai mengalami masalah mental.
“Kita dimaklumkan oleh keluarga suspek bahawa suspek pernah dibawa ke Hospital Betong dan doktor menasihati supaya suspek dirujuk ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut,” katanya.
Siasatan kes masih dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kita mohon masyatakat agar tidak menghangatkan situasi dengan merujuk kepada sumber yang tidak betul.
“Kita minta juga saksi awam atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan polis,” katanya. ā DayakDaily