Majlis Khas MA63 harus utamakan pembangunan infrastruktur luar bandar di Sarawak

Erick Drenner Dangan (file photo)

KUCHING, 19 SEPTEMBER: Gesaan Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan agar Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963(MA63) memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur luar bandar disokong Persatuan Bangsa Sekapan Belaga.

Presidennya Erick Drenner Dangan berkata, ia perlu dilaksanakan dengan segera kerana Sarawak masih jauh ketinggalan dari segi kemudahan infrastruktur khususnya di luar bandar.

“Persatuan Bangsa Sekapan Belaga menyokong kenyataan Snowdan, ia bukan bersifat politik.


“Kawasan luar bandar di Sarawak masih memerlukan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air bersih, jalan raya, liputan internet, peningkatan sosio ekonomi dan tiada lagi sekolah kategori daif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Erick, kerajaan pusat seharusnya dengan segera menangani isu sekolah daif di negeri ini yang nanti bakal memberi kemudahan pembelajaran kepada murid-murid di luar bandar.

Katanya, ini merupakan salah satu perjuangan persatuan yang menekankan betapa pentingnya pendidikan kepada generasi muda.

“Sarawak kaya dengan sumber asli namun kita jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia.

“Justeru, pembangunan infrastruktur di luar bandar hendaklah diberi keutamaan dan segera dilakukan,’ katanya.

Snowdan yang juga Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak dalam kenyataan semalam turut menggesa Majlis Khas MA63 memberi keutamaan kepada hak komuniti orang asal Sarawak dan Sabah dalam aspek pelajaran.

Selain itu, ADUN Balai Ringin itu juga mahukan majlis tersebut memberi keutamaan kepada orang asal untuk berkhidmat di perkhidmatan awam dan penglibatan di dalam perniagaan. — DayakDaily