Lee yakin Miri kekal sebagai zon hijau Covid-19

Lee (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada presiden NSJA Andy Jong pada majlis tersebut sambil diperhatikan oleh Ahmad Malie.(tengah).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 26 Okt: Kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mengambil pendekatan berterusan dalam membendung wabak Covid-19 daripada terus merebak.

“Kita telah berusaha dengan keras untuk menangani pandemik Covid-19 ini dengan mengadakan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) bagi mengekang rantaian penularan dengan berkesan di negeri ini,” ujar Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin.

Lee, yang juga Menteri Bertangungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Bahagian Miri berkata, sejak pandemik Covid-19 melanda usaha berterusan telah dirancang oleh JPBN negeri dan bahagian dalam menangani penukaran wabak tersebut.

“Kami bersama pelbagai agensi kerajaan yang lain tidak putus-putus mengadakan mesyuarat memikirkan cara dan pendekatan terbaik melindungi rakyat daripada dijangkiti wabak ini.

“Ini cabaran luar biasa kepada negara dan Sarawak,” jelasnya ketika menghadiri majlis apresiasi ‘frontliner’ (barisan hadapan) Covid-19 di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau menyeru agar rakyat di negeri ini terus bersama-sama kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 dengan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu dengan pasukan barisan hadapan untuk memastikan sifar Covid-19,” katanya.

Lee juga menyeru penduduk di daerah ini untuk terus komited agar memastikan Miri terus menjadi zon hijau Covid-19.

“Saya amat gembira dengan kerjasama yang diberikan penduduk Miri setakat ini kerana lebih dari lima bulan kita kekal sebagai zon hijau Covid-19 dan saya berharap ini (status) berterusan,” katanya.

Setakat 23 Oktober sebanyak 14,000 sampel ‘swab’ telah dibuat untuk bahagian Miri.

Manakala, 33,672 ujian RT-PCR telah dilakukan pihak Hospital Miri untuk keseluruhan bahagian Utara Sarawak.

“Ini menunjukan komitmen tinggi dan berterusan kerajaan negeri dalam mengekang penularan wabak Covid-19,” jelas Lee.

Pada majlis itu, Lee turut menyampaikan sijil penghargaan kepada agensi kerajaan yang berperanan sebagai barisan hadapan.

Agensi yang menerima sijil penghargaan pada majlis tersebut ialah pasukan polis daerah Miri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, Hospital Miri, Aerodarat Service Sdn Bhd, Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Pejabat Pergigian Miri, Jabatan Kastam Daerah Miri, Batalion 20 Regimen Askar Melayu Diraja, Pejabat Kesihatan Miri, Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) dan Jabatan Sukarela Miri (Rela).

Peruntukan sebanyak RM5,000 juga diberikan kepada barisan hadapan yang terlibat.

Turut hadir pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) Sarawak Ahmad Malie serta 12 wakil agensi kerajaan yang berperanan sebagai pasukan hadapan dalam menangani penukaran wabak Covid-19. —DayakDaily