Lee: Kelonggaran bagi lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh, tiada tindakan sepanjang PKPB

Lee (tiga dari kiri) mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat JPJ Sarawak.Turut kelihatan Mohd Syafiq (kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 20 MEI: Orang ramai tidak perlu terburu-buru untuk datang ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan yang tamat tempoh.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, kerajaan telah memberi pengecualian pembaharuan di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB).


Malah katanya, Menteri Pengangkutan(Persekutuan) telah memaklumkan bahawa selepas PKPB ditamatkan, tempoh 30 hari diberikan kepada orang ramai untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan.

“Jadi kita ada banyak masa untuk memperbaharui, tak payah terburu-buru dan berbaris panjang di JPJ.

“Walaupun cukai jalan dan lesen memandu telah tamat tempoh, di sepanjang tempoh PKPB ini ada kelonggaran, iaitu tiada tindakan akan diambil oleh JPJ atau pihak polis,” katanya.

Lee berkata demikian pada sidang media setelah mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat JPJ Sarawak di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, orang ramai masih boleh memandu walaupun lesen memandu dan cukai jalan telah tamat tempoh dengan syarat membawa ‘cover note’ perlindungan insuran yang masih sah.

Katanya, apa yang penting adalah insuran mesti diperbaharui dan walaupun cukai jalan dan lesen memandu telah tamat, kenderaan masih di dalam perlindungan insuran.

“Kalau insuran itu sah dengan cukai jalan dan lesen memandu telah tamat, kenderaan masih di dalam perlindungan insuran sepanjang tempoh PKPB ini,” tegas Lee.

Pada lawatan itu, beliau turut mengadakan perbincangan dengan Pengarah JPJ Sarawak Mohd Syafiq Anas.

Lee mahukan pejabat-pejabat JPJ di seluruh Sarawak menyediakan kemudahan dan kawasan yang luas agar pengunjung-pengunjung dapat mematuhi prosedur operasi standard(SOP) keselamatan.

Sejak kaunter JPJ dibuka bagi semua urus niaga bermula 18 Mei lepas, kaunter-kaunter telah diserbu orang ramai yang ingin memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan.—DayakDaily.