“Lebih sukar membuat kuih bulan kek lapis halal berbanding kuih bulan tradisional”

Ngui menunjukkan pelbagai jenis kuih bulan kek lapis halal dari kedainya.
Advertisement

KUCHING, 1 Okt: Pengalaman membuat pelbagai jenis kek dan pastri sejak usia 14 tahun membolehkan pengusaha Maria Cake House, Maria Ngui Sai Moi, 45, membuat kuih bulan kek lapis halal sejak tiga tahun lepas.

Sejak itu, kuih bulan kek lapis halal itu dijual pada harga RM18 sebiji di kedainya dan kini pelanggan boleh pilih dari 12 jenis perisa.

Ngui mendedahkan kedainya telah menerima tempahan antara 500 hingga 600 biji kuih bulan itu sehari sepanjang perayaan kuih bulan tahun lepas dengan tempahan itu bukan sahaja dari negeri ini malahan juga dari Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Advertisement

“Tetapi tahun ini, kedai saya mungkin tidak dapat memenuhi tempahan kuih bulan dari Sabah kerana masalah penerbangan dan menumpukan kepada memenuhi tempahan kuih itu dari negeri ini dan semenanjung sahaja,” katanya ketika mempromosikan kuih bulan kek lapis halal kedainya di selepas perasmian Program Promosi dan Pemetaan Budaya Kuching Old Bazaar di Old Court House, di sini, hari ini.

Ngui menunjukkan kuih bulan kek lapis halal dari kedainya.

Ngui berkata kedainya menghasilkan sehingga 300 biji kuih itu semalam dan sehingga 900 biji kuih lapis itu Selasa lepas (29 Sept) serta mensasarkan menghasilkan sehingga 500 biji kuih itu setiap hari sepanjang perayaan kuih bulan tahun ini.

“Selain halal, keistimewaan lain kek lapis kedai kami (bagi menghasilkan kuih bulan) ialah tidak banyak gula dan tidak terlalu manis serta berharap orang ramai dapat mencuba sampelnya di kedai kami,” katanya dengan kedainya berhampiran Main Bazaar di sini dan memiliki sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia .

Beliau mengakui lebih sukar membuat kuih bulan halal dari kek lapis berbanding kuih bulan tradisional kerana memerlukan kemahiran tangan bagi membalut kek lapis supaya dapat bentuk bulat. — DayakDaily

Advertisement