KUCHING: Kawasan Parlimen Santubong pada 2024 menerima peruntukan keseluruhan berjumlah lebih RM5.5 juta bagi projek pembangunan.
Menteri Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, ia melibatkan pelbagai projek infrastruktur yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Sejumlah RM5,637,000 telah diperuntukan bagi membiayai pelbagai projek pembangunan di kawasan Santubong pada 2024.
“Kita tidak mahu rakyat menghadapi masalah, kemudahan ini memberi manfaat dan membantu meningkatkan sosio ekonomi,” katanya.
Nancy berkata demikian pada program Malam Media Sarawak ‘Sembang Santai’ di Kuching malam tadi.
Sebagai contoh tambah beliau, sejumlah RM3.17 juta diperuntukan bagi projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Ujar Nancy merangkap MP Santubong, ia melibatkan kerja naiktaraf jalan Kampung Pinggan Jaya di Demak Laut, naiktaraf jalan Kampung Buntal di Pantai Damai, naiktaraf jalan Kampung Sungai Cina di Lundu.
Manakala itu katanya, sejumlah RM1 juta diperuntukan menerusi projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi Program Penambaikan Rumah Rakyat Miskin (PPRMS).
“Ia melibatkan kerja membaik pulih sebanyak 60 buah rumah rakyat miskin, membantu meningkatkan kualiti hidup mereka,” kata Nancy. — DayakDaily