Lebih 40,000 belia Saberkas dilibatkan dalam bidang ekonomi — Abang Johari

Abang Johari (dua dari kiri) pada sidang media di Kuching hari ini (Nov 27, 2019). Turut kelihatan (dari kanan) Sharifah Hasidah dan Abdul Karim.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 27: Lebih 40,000 ahli-ahli Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (Saberkas) yang terdiri daripada golongan belia akan terlibat dalam pembangunan ekonomi negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Saberkas memberi penekanan kepada dua bidang yang dikenalpasti boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan ini.

Advertisement

Katanya, kedua-dua bidang tersebut adalah sektor pertanian dan pelancongan.

“Ahli-ahli Saberkas yang mempunyai kemahiran akan diberi peluang berkecimpung di dalam sektor pertanian melalui penglibatan di dalam taman agro.

“Dengan latarbelakang pendidikan yang bersesuaian, mereka akan dilatih menjadi petani moden dan ini sebagai usaha kerajaan negeri untuk mengembangkan sektor pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah mempengerusikan Mesyuarat JawatanKuasa Tertinggi Saberkas di Kuching hari ini.

Abang Johari yang juga Presiden Saberkas menambah, pertubuhan tersebut akan mewujudkan Taman Pertanian Sagrotek di Paya Paloh, Kota Samarahan.

Menurut beliau, taman tersebut akan menjadi makmal dan pusat latihan yang menggunakan teknologi baharu dalam pengeluaran pertanian kepada golongan belia.

“Taman ini akan kita bangunkan dengan kerjasama Fakulti Pertanian, Unimas (Universiti Malaysia Sarawak) dan kumpulan dari Singapura.

“Kita memanfaatkan teknologi masa kini dan golongan belia ini bakal menjadi petani pintar,” katanya.

Selain bidang pertanian, tambah Abang Johari, sektor pelancongan juga merupakan salah satu sektor ekonomi yang boleh menarik minat para belia.

Ujar beliau, melalui sektor pelancongan, golongan belia ini boleh mencebur diri dalam industri kecil dan sederhana.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan memberi penekanan kepada sektor pelancongan dan perkhidmatan.

“Maka, para belia kita boleh mengambil bahagian di dalam bidang pembangunan ekonomi yang kita telah kenal pasti,” tegas Abang Johari.

Turut hadir Timbalan Presiden Saberkas Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Naib Presiden Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. — DayakDaily

Advertisement