Lebih 286 ribu pembayar cukai guna Program Khas Pengakuan Sukarela LHDNM

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia logo
Advertisement

KUCHING, 9 MAC: Seramai 286,428 pembayar cukai telah mengambil peluang Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang telah dilaksanakan mulai 3 November 2018 hingga 30 September 2019.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam kenyataan berkata, PKPS tersebut melibatkan jumlah cukai, cukai tambahan dan penalti sebanyak RM7.877 bilion.

“PKPS juga berjaya menarik seramai 11,176 pembayar cukai baharu ke dalam jaringan cukai LHDNM,” katanya.

Advertisement

Program ditawarkan oleh kerajaan sebagai penyelesaian kepada pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan cukai dengan tampil secara sukarela melaporkan pendapatan penuh dan membuat bayaran cukai mereka dalam tempoh yang sepatutnya.

Menurut kenyataan itu, pembayar cukai telah diberi jaminan melalui Garis Panduan Operasi Bilangan 1 Tahun 2018 yang selanjutnya
digantikan dengan Garis Panduan Operasi Bilangan 1 Tahun 2019 (GPO 2019).

Katanya, pihak LHDNM akan menerima pengakuan sukarela yang dibuat dalam tempoh PKPS secara suci hati.

“Tindakan audit tidak akan dilakukan pada masa akan datang bagi tahun-tahun taksiran yang terlibat dengan PKPS tertakluk kepada
beberapa ketetapan,” menurut kenyataan.

Program ini turut tidak terpakai bagi pengakuan yang melibatkan siasatan jenayah telah dimulakan atau prosiding pendakwaan susulan
daripada siasatan jenayah telah difailkan di mahkamah.

Ia berdasarkan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai
Keuntungan Harta Tanah (ACKHT) 1976, Akta Setem (AS) 1949 atau Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Hasrat bagi penetapan syarat pelaporan pendapatan penuh secara sukarela ini adalah bagi mengelakkan berlakunya penipuan pelaporan
pendapatan oleh mana-mana pembayar cukai yang menyalahgunakan program ini.

“Dengan lain perkataan, PKPS yang dilaksanakan turut menuntut kejujuran pembayar cukai dalam membuat pengakuan dan pelaporan
cukai,” katanya.

LHDNM juga ingin menjelaskan bahawa layanan cukai bagi setiap kes yang diterima dan disemak adalah berdasarkan fakta dan merit
kes. – DayakDaily

Advertisement