Lebih 1,000 warga Gedong hadiri Majlis Ikatan Kasih 2019

Abang Joahri (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah khas kepada salah seorang ahli GPK dalam Majlis Ikatan Kasih 2019 Gedong Permulaan Kami (GPK) di Kuching semalam (Okt 26, 2019).

Chris Bishop

KUCHING, OKTOBER 27: Lebih 1,000 tetamu hadir pada Majlis Ikatan Kasih 2019 anjuran Gedong Permulaan Kami (GPK) Kuching di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Majlis dihadiri tetamu kehormat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Berucap di majlis itu, Abang Johari berkata Kerajan Negeri akan terus membangunkan kawasan Gedong dengan penubuhan Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA).

“Kita memperuntukan RM1.5 bilion untuk IRSDA dan program pembangunan ini akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.


“Ini adalah perancangan kita untuk masa depan dan saya percaya Sarawak mempunyai peluang cerah,” katanya.

Abang Johari (kanan) sedia untuk memukul gendang sebagai simbolik perasmian Majlis Ikatan Kasih 2019 Gedong Permulaan Kami (GPK) di Kuching.

Majlis menghimpunkan ahli-ahli keluarga GPK dari segenap pelusuk negeri Sarawak, termasuk dari Brunei, Semenanjung Malaysia dan Kalimantan, Indonesia.

Pada majlis yang sama, Penaung Majlis Ikatan Kasih 2019, Datuk Mohd Naroden Majais berkata Gedong akan bertukar wajah dalam masa yang terdekat dengan pembangunan yang telah dirancang.

Katanya yang juga Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, jalanraya akan dibesarkan dan sebuah jambatan akan dibina menyeberangi Sungai Sadong dengan peruntukan RM50 juta.

“Pertanian agro secara komersial akan diwujudkan di kawasan Gedong bagi memberi peluang pekerjaan serta pendapatan kepada generasi baharu,” katanya,

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Speaker Dewan Undangan Negeri(DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar. — DayakDaily