Lawas miliki kemudahan kesihatan lebih baik masa akan datang

Awang Tengah (tiga dari kiri) menyaksikan isteri beliau Dayang Morliah menyampaikan sumbangan kepada wakil dari Hospital Lawas.

KUCHING, 3 Nov: Daerah Lawas bakal menerima kemudahan kesihatan yang lebih pada masa akan datang, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Tengah berkata ketika ini kemudahan-kemudahan kesihatan di daerah tersebut sedang dalam pembinaan.

Selain itu katanya, ada kemudahan-kemudahan kesihatan ini masih dalam perancangan.


“Ketika ini kemudahan kesihatan yang ada di Daerah Lawas ini adalah terhad.

“Kita di Lawas ini akan mendapat kemudahan-kemudahan kesihatan yang lebih baik pada masa akan datang termasuklah sebuah hospital baru.

“Pada masa ini kita menghadapi banyak kekurangan namun kakitangan hospital telah berusaha sebaik yang mungkin,” katanya.

Awang Tengah berkata demikian di Program SABATI Outreach Bersama Hospital Lawas di Klinik Kesihatan Daerah Lawas pada Ahad lepas

Beliau yang juga Adun Bukit Sari turut menzahirkan rasa bangga terhadap petugas barisan hadapan di Limbang dan Lawas dalam menjayakan Program Imuniti Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Saya cukup bangga dengan komitmen petugas barisan hadapan kita di Limbang dan Lawas ini yang telah bekerja keras menjayakan program vaksinasi dan memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Vaksin ini penting untuk mempertahankan diri kita daripada jangkitan Covid-19.

“Saya berharap agar masyarakat kita akan sentiasa berwaspada untuk mengekang penularan Covid-19 ini,” ujarnya.

Terdahulu, isteri Awang Tengah yang mewakili Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) Dayang Morliah Awang Daud dalam ucapan aluannya memberitahu SABATI akan terus menghulurkan bantuan kepada hospital dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memerlukan.

“Pada tahun ini semasa wabak pandemik Covid-19, Hospital Lawas banyak memerlukan bantuan sama ada peralatan perubatan dan tenaga kerja.

“SABATI telah menyumbangkan peralatan kesihatan seperti mesin dialisis dan mesin-mesin lain yang dianggarkan berjumlah RM100,000 untuk keperluan rakyat di Lawas ini.

“Kita berharap SABATI akan terus sentiasa mendapat sokongan daripada kerajaan dan mana-mana pertubuhan korporat, NGO dan lain-lain,” katanya. — DayakDaily