Latheefa harus letak jawatan demi prinsip — NGO

Iswardy Morni
Advertisement

KUCHING, 8 Jun: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya harus meletak jawatan jika beliau seorang yang berpegang kepada prinsip.

Pengerusi Pro Reformist 98 Sarawak, Iswardy Morni, berpendapat bahawa Latheefa, walaupun sudah meletak jawatan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), akan sentiasa dilihat sebagai seorang yang bergiat cergas dalam politik kerana beliau pernah mengharungi perjuangan reformasi.

Ini akan mempersoalkan ketelusan SPRM jika beliau mengekalkan jawatan tersebut, tambahnya.

Advertisement

Iswardy berkata walaupun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak melanggar sebarang undang-undang dalam perlantikan tersebut, namun ia masih dianggap tidak mengikuti saluran yang betul.

“Perlantikan ini bukan sahaja tidak diketahui oleh pimpinan tertinggi PKR ataupun Pakatan Harapan, malah ia tidak dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Khas Kabinet Parlimen yang pernah diumumkan pada tahun 2018 oleh perdana menteri sendiri, yang ditubuhkan dengan tujuan khusus untuk membincangkan perkara seumpama ini,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Iswardy juga menyifatkan perlantikan Latheefa menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sebagai sesuatu yang mengejutkan, memandangkan Mohd Shukri masih masih lagi mempunyai baki kontrak perkhidmatan setahun.

Perlantikan Latheefa diumum selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa mulai 1 Jun, selama dua tahun.

“Sekiranya ada yang berhujah mengatakan bahawa Tun Mahathir tidak melanggar apa-apa undang-undang dalam isu ini, kita tahu dan sedar bahawa beliau sememangnya tidak melanggar apa-apa undang-undang.

“Malah Seksyen 5 Akta SPRM, 2009, memberikan kuasa kepada Agong untuk melantik sesiapa sahaja menjadi ketua SPRM di atas nasihat Perdana Menteri di atas apa sahaja tempoh dan syarat.

“Namun itu bukan persoalan utamanya. Persoalan utama ialah prinsip dan janji itu sendiri. Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang kepada janjinya,” ujar beliau.

Iswardy memperingatkan bahawa manifesto Pakatan Harapan pada PRU14, khususnya yang termaktub dalam Janji ke-14 Buku Harapan, untuk “reform” (memberi pembaharuan) SPRM di mana ia akan melapor terus kepada Parlimen dan bukan lagi kepada Perdana Menteri.

“Latheefa, walau bagaimanapun kita letak tinggi beliau sekalipun dan walau sudah meletak jawatan, adalah seorang ahli politik yang bergiat cergas di dalam Parti Keadilan Rakyat itu sendiri. Ini sebab utama kenapa pelantikan Latheefa adalah suatu kesilapan yang besar kerana beliau dilantik dari kalangan orang politik.

“Oleh itu, kita harus sedar prinsip dan tatacara keadilan itu sendiri. Keadilan itu bukan sekadar perlu berlaku adil, tetapi juga perlu dilihat adil.”

Iswardy berkata dalam mahkamah sekalipun, sekiranya hakim tersebut dilihat ada perkaitan dengan salah satu dari pihak yang didengarkan kes, maka pihak satu lagi boleh memohon agar hakim tersebut diganti.

Walaupun hakim tersebut berkata beliau boleh menjadi adil dalam perbicaraan ini, itu bukan persoalannya. Persoalannya, bukan sekadar hakim itu kena berlaku adil, perbicaraan tersebut perlu dan mesti dilihat adil, tambahnya.

Beliau juga menegaskan rakyat mahu reformasi dalam sistem kerajaan ke arah “check and balance” yang lebih baik dan telus ke arah kerajaan yang lebih baik.

“Bila kuasa diberikan terlalu banyak kepada seorang sahaja, maka kita akan sedikit demi sedikit menarik kerajaan baru ini ke arah pemerintahan ‘kuku besi’ Barisan Nasional sebelum ini. Oleh itu, reform itu perlu berlaku dari dalam dan perlu berlaku segera,” ujar beliau. — DayakDaily

Advertisement