Larangan mengerjakan ladang, kebun dan sawah antara SOP di 4 kawasan PKPD

Signature. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 3 MEI: Larangan untuk mengerjakan ladang, kebun, huma atau sawah antara prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang harus dipatuhi di empat kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengeluarkan kemaskini SOP PKPD di empat kawasan tersebut pada 30 April 2021.

Empat kawasan terbabit ialah Rh Payau Emperan Datuk di Pakan yang dikuatkuasakan PKPD mulai 30 April hingga 13 Mei), Rh Rampai di Sungai Anyit Selangan di Sarikei(30 April hingga 13 Mei), Rh Chan Minggat di Sg Kesa, Sarikei mulai 30 April hingga 13 Mei dan Kampung Sagah di Kuching (1 Mei hingga 14 Mei).


Di samping itu, semua aktiviti sosial, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan dan semua sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi.

Turut di dalam senarai larangan ialah tiada tetamu dan pelawat luar dibenarkan masuk dalam tempoh PKPD berkuatkuasa dan semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing.

Semua rumah ibadat dan sekolah di dalam kawasan PKPD juga ditutup sepanjang tempoh ini.

Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, pergerakan adalah dibenarkan tetapi perlu kemukakan permohonan pergerakan kepada pihak polis.

Wakil keluarga boleh menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian atau Bilik Operasi PKPD.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula akan melakukan saringan secara bersasar terhadap semua penduduk yang terlibat. — DayakDaily