Lapor diri ke JPBNS jika ingin ke Kapit — ADUN Pelagus

Wilson Nyabong Ijang (file pic)

KUCHING, Mei 11: Individu yang ingin balik atau melawat saudara-mara di rumah panjang di Bahagian Kapit dikehendaki melaporkan diri ke Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Bahagian Kapit.

ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang berkata, ini adalah langkah pencegahan untuk menghalang penularan wabak Covid-19 ke Kapit yang kekal sebagai zon hijau sehingga kini.

“Saya telah memberi pesanan kepada tuai rumah -tuai rumah iaitu jika ada individu atau saudara sendiri yang ingin datang ke rumah panjang, mereka mesti melaporkan diri.


“Kita harus tegas berhubung perkara ini; sebarang pergerakan melalui sungai dan darat ke Kapit akan dikawal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selesai Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 di Komplek DUN di sini, hari ini.

Menurut Wilson, baru-baru ini terdapat individu yang cuba memasuki Kapit mengunakan bot laju tetapi pergerakan mereka telah dikesan dan ditahan oleh anggota penguatkuasa Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.

Katanya, anggota penguatkuasa ini melakukan kawalan di sungai termasuk memantau pergerakan warga Indonesia (Kalimantan) yang bersempadan dengan Kapit.

“Selain itu, kita juga tegas dengan warga Kapit yang berkerja di ‘offshore’ yang ingin kembali.

“Kawalan juga dilakukan di jalan Song ke Kapit,” ujar beliau.

Pada persidangan hari ini, DUN telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2020) 2020 dan RUU Perbekalan Tambahan (2019) 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan II Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Persidangan DUN kali ini hanya diadakan sehari sahaja sebagai langkah menghadkan persidangan berikutan kebimbangan wabak Covid-19 yang melanda negara. — DayakDaily