Lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

MIRI, Nov 18: Lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Sealine, Lutong di sini musnah terbakar lewat petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 5.33 petang itu mengakibatkan sebuah rumah dua tingkat berstruktur separuh kekal telah terbakar 100 peratus.


Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, tidak cukup dengan itu, kebakaran sama turut memusnahkan sebuah motosikal milik keluarga tersebut.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada pukul 5.35 petang.

“Sepasukan 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Pasukan bomba dari BBP Miri dari turut diarahkan ke lokasi untuk membantu operasi sama,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, pihak bomba telah bertindak membuat pemadaman serta melakukan ‘fire break’ untuk mengawal kemerebakan api ke rumah yang berdekatan.

Katanya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 6.15 petang.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” katanya. — DayakDaily