Lapan sekeluarga berdepan detik mencemaskan, rumah didiami terbakar

Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

– Dean Adam

SIBU, Okt 8: Lapan sekeluarga berdepan dengan detik mencemaskan apabila kediaman mereka di Kampung Nangka di sini terbakar, malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 10.33 malam itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu, Muhamad Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.35 malam.

Jelasnya, sejurus itu, sepasukan 14 anggota bomba dari BBP Sibu telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba, anggota bomba mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah rumah dua tingkat berstruktur tidak kekal telah terbakar kira-kira 50 peratus.

“Pasukan bomba kemudian bertindak membuat pemadaman dan penyelamatan sebelum kebakaran terkawal pada pukul 10.55 malam,” katanya di sini hari ini.

Muhamad Jusoh menambah, tindakan pantas pasukan bomba bertindak telah berjaya mengawal kemerebakan api ke rumah-rumah yang berdekatan.

Katanya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11.49 malam.

“Pemeriksaan awal mendapati seorang wanita yang mengalami masalah asma telah dihantar ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Ketika ini, pasukan bomba masih menyiasat punca dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” ujarnya lagi. — DayakDaily