Lapan rumah terbakar di Kampung Haji Baki

Pasukan Bomba sedang bertungkus lumus memadam kebakaran.

KUCHING, 22 Mac: Lapan keluarga hilang tempat berteduh selepas rumah mereka di Kampung Haji Baji, di sini terbakar awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kebakaran dilaporkan berlaku sekitar jam 5.22 pagi.

Katanya, pasukan kawalan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang bersama bantuan BBP Tabuan Jaya dan BBP Padungan telah respon ke lokasi kejadian.


“Komander operasi lapor kebakaran melibatkan lapan buah rumah jenis dua tingkat separuh kekal. Empat daripadanya telah terbakar 100 peratus dan empat lagi terbakar 30 peratus.

“Dengan menggunakan konsep RECEO, pasukan bomba membuat pemadaman kebakaran menggubakan dua aliran 900 kaki, dua dividing breeching, empat nozel, satu pam angkut air dari pili bomba.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.38 pagi, seterusnya kerja-kerja overhaul dijalankan untuk memastikan tiada lagi punca nyalaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 9.22 pagi.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

Beberapa agensi turut hadir di lokasi kejadian untuk menyalurkan bantuan.

Turut melawat kawasan kejadian ialah Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang. — DayakDaily