Lapan pembalak haram warga Indonesia didenda RM25,000

Warga Indonesia yang didenda selepas didapati tebang kayu balak secara haram.

SIBU, Jan 24: Seramai lapan pembalak haram warga Indonesia telah didakwa di Mahkamah Sesyen Sibu di sini hari ini atas dakwaan melakukan kesalahan menebang pokok secara haram tanpa kebenaran di kawasan hutan Balakong, Daro pada hujung tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Caroline Bee Majanil turut memerintahkan kesemua tertuduh didenda sebanyak RM25,000 dan RM19,000 kepada kerajaan negeri iaitu 10 kali ganda nilai kayu balak yang dirampas.

Jika gagal membayar denda tersebut, kelapan-lapan tertuduh boleh dikenakan penjara selama 10 bulan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh telah menebang kayu balak di Balakong, Daro secara haram, pada Disember tahun lalu.

Kes tersebut telah dibawa ke mahkamah oleh pegawai undang-undang dari Pejabat Peguam Besar Negeri, Hishamudin Roslan di Hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Caroline Bee Majanil.

Kejayaan itu adalah hasil usaha bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Jabatan Hutan Sarawak juga telah memberi amaran tegas sesiapa sahaja yang didapati menebang atau membawa kayu balak tanpa royalti dan tidak patuh kepada peraturan ditetapkan akan dikenakan tindakan. — DayakDaily