Lapan pelajar sekolah antara 11 ditahan disyaki bergaduh

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Ogos 6: Lapan pelajar sekolah menengah merupakan antara 11 individu yang diberkas polis selepas disyaki terlibat dalam pergaduhan di Plaza Merdeka di sini semalam.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang itu, polis telah menahan semua suspek yang berumur antara 13 hingga 31 tahun.

Kata sumber, tidak cukup dengan itu, sebilah pisau turut dirampas daripada salah seorang suspek.


“Daripada 11 individu yang diberkas itu, tiga merupakan lelaki, manakala lapan lagi remaja perempuan.

“Buat masa ini, punca pergaduhan masih lagi disiasat,” katanya hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek mengesahkan tangkapan kesemua individu tersebut.

Katanya, semua suspek telah ditahan di lokap IPD Kuching untuk siasatan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan bergaduh di tempat awam.

“Kes tersebut juga disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” ujarnya lagi. — DayakDaily