Lapan lelaki ditangkap sabung ayam berdekatan kawasan kubur di Kapit

Tangkapan dan rampasan yang dibuat dalam operasi tersebut.

KAPIT, 3 April: Seramai lapan orang lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat kegiatan menyabung ayam berdekatan kawasan perkuburan di Jalan Antaroh, di sini pada April 1.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kapit, ASP Anthony Apui, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kapit telah melakukan serbuan Op Dadu sekitar jam 3.30 petang.

“Ketika serbuan dilakukan, dipercayai beberapa individu sedang leka menyabung ayam,” katanya dalam satu kenyataan.


Sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, kumpulan suspek tadi bertempiaran melarikan diri namun berjaya ditangkap polis.

Kesemua mereka berusia lingkungan 19 hingga 52 tahun dan merupakan warga tempatan.

Turut dirampas ialah lapan ekor ayam, termasuk dua ekor yang telah mati.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Penganiayaan Binatang 1963. — DayakDaily