Lapan individu ditahan reman bantu kes pesara ditemui mati ketika memburu

Royal Malaysia Police logo

KOTA SAMARAHAN, April 3: Lapan individu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes seorang pesara tentera yang maut semasa keluar memburu di kawasan hutan di Kampung Mang di sini pada April 1 lepas.

Pesara tentera yang dikenali sebagai Bong Francis, 46, ditemui mati ketika sedang membuang air besar di kawasan hutan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Dsp. Lee Chong Chern berkata, sebelum kejadian iaitu kira-kira pukul 8 pagi, mangsa bersama lapan rakan lain dikatakan pergi ke kawasan hutan Kampung Mang dengan menaiki dua buah kereta.


Katanya, sebaik sampai di kawasan hutan tersebut, mereka dikatakan makan bersama sebelum bergerak semula untuk berburu.

“Pada pukul 12.00 tengah hari, mangsa dikatakan mengadu sakit perut dan mahu membuang air besar di sungai di situ.

“Bagaimanapun, tiba-tiba rakan lain terdengar bunyi tembakan dan mangsa menjerit memanggil nama anaknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lee menambah, anak mangsa kemudian bergegas pergi ke lokasi kejadian dan melihat bapanya dalam keadaan terlentang dan sudah tidak bernyawa lagi.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan tembakan pada bahagian rusuk sebelah kiri, bahagian depan paha kanan, punggung sebelah kiri dan kesan lebam di bahagian rusuk sebelah kanan mangsa.

“Polis sudah merampas tiga laras senapang yang dipercayai digunakan oleh semua pemburu terbabit untuk tujuan siasatan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan,” ujarnya lagi. — DayakDaily