Lapan individu berdepan detik cemas, dua kenderaan terlibat kemalangan

Keadaan di tempat kejadian kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan.

MIRI, Mac 20: Lapan individu termasuk dua pemandu berdepan detik mencemaskan apabila dua buah kenderaan terlibat dalam nahas jalan raya berhampiran Emart, Riam di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, tiada laporan kemalangan jiwa berlaku, namun lima individu dilaporkan cedera.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.24 pagi.


Jelasnya, sebaik menerima laporan kemalangan itu, sepasukan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan tersebut melibatkan masing-masing sebuah Toyota Innova dan Proton Saga BLM.

“Pemeriksaan lanjut mendapati enam orang dalam Toyota Innova itu dan dua lagi dalam Proton Saga BLM. Kesemua mangsa tidak tersepit namun mereka mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Law menambah, pasukan bomba kemudian melakukan kerja-kerja mengeluarkan kesemua mangsa dari kenderaan tersebut.

Katanya, selepas mengeluarkan mangsa, anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mereka.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.55 pagi selepas mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily