Langgar syarat lesen, lima nelayan ditahan Maritim Malaysia di Miri

Bot nelayan tempatan (BNT) Kelas C yang ditahan Maritim Malaysia dalam ops permai kira-kira lima batu nautika dari utara Kuala Baram.

MIRI, 3 Mac: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah bot nelayan tempatan (BNT) Kelas C selepas disyaki melakukan aktiviti perikanan yang melanggar syarat lesen sah mereka.

Lima kru bot terbabit turut ditahan Maritim Malaysia semasa satu rondaan Ops Permai sekitar lima batu nautika utara Kuala Baram, pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md Fauzi Othman berkata, dalam kejadian sekitar jam 7.40 pagi itu, bot nelayan terbabit cuba melarikan diri dikejar dari diperiksa, namun telah dipintas dan ditahan 10 minit kemudiannya oleh aset Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Permai di sekitar perairan Miri.


Katanya, pemeriksaan ke atas bot tidak menjumpai peralatan menangkap ikan seperti pukat tunda dan tali tunda yang digunakan untyuk aktiviti penangkapan ikan di perairan tersebut.

“Anggota penguatkuasa yang terlibat dalam operasi mengesyaki kru bot telah bertindak melepaskan tali pukat bagi mengelakkan dari ditahan, sebaik menyedari kehadiran aset Maritim.

“Bot tersebut kemudiannya diarahkan untuk berpatah semula ke posisi di mana penguatkuasa menjumpai sebahagian pukat terapung yang dipercayai milik mereka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Fauzi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bot dipercayai melakukan aktiviti perikanan kurang dari tujuh batu nautika yang mana telah menyalahi syarat yang tertera di dalam lesen yang dimiliki.

Katanya, BNT terbabit dikendalikan oleh seorang tekong warga Malaysia bersama empat kru warga asing berusia dalam lingkungan 27 hingga 65 tahun.

“Kesemua kru, bot dan peralatan menangkap ikan seterusnya ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Seksyen 29 Akta Perikanan 1985 iaitu memusnahkan keterangan yang menuduh,” katanya. — DayakDaily