“Keputusan Larry tinggalkan PKR, sokong PN satu tindakan bijak”

Mathew Tibu

KUCHING, 3 Mac: Keputusan MP Julau Larry Sng meninggalkan PKR Sarawak dan menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah tindakan bijak.

Menurut Setiausaha PKR Cabang Sarikei Mathew Tibu, tindakan bekas Pengerusi PKR Sarawak itu dilihat mengutamakan kebajikan rakyat serta pengundinya di kawasan Julau.

“Selain itu, Larry telah menunjukkan prestasi memberangsangkan walaupun sepanjang tempoh wabak pandemik Covid-19.


“Beliau mampu menggalas tanggungjawab dan berkhidmat dengan cemerlang di Parlimen Julau.

“Walaupun tugas untuk mengeluarkan kawasannya daripada belenggu kemiskinan adalah tugas yang amat mencabar, namun Larry berusaha melakukan yang terbaik demi rakyat,” ujar Mathew dalam satu kenyataan.

Tambah Mathew lagi, Sng sentiasa komited dan mengutamakan pendidikan kerana percaya ilmu pengetahuan merupakan aset paling penting yang
mampu mengubah taraf hidup keluarga mahupun diri sendiri.

Dalam pada itu, Mathew yang berasal dari Lubuk Lemba, Julau turut memaklumkan bahawa beliau akan mengundurkan diri dari jawatan dan PKR
dalam masa terdekat.

Sng pada Feb 28 bersama Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon telah menyerahkan Akaun Bersumpah kepada Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin yang menyatakan sokongan kepada kerajaan PN.

Sng menyertai PKR selepas memenangi kerusi Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan tahun lalu, beliau dilantik sebagai Pengerusi PKR Sarawak susulan peletakan jawatan Baru Bian yang keluar parti. — DayakDaily