LAWAS, Mei 28: Seorang pemandu sebuah kenderaan pacuan roda nyaris rentung selepas Toyota Land Cruiser yang dipandunya melanggar tiang telefon sebelum terbalik dan terbakar di Jalan Merapok di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 11.18 pagi itu telah mengakibatkan kenderaan terbabit terbakar, namun pemandunya berjaya keluar menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Zaki Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.20 pagi.
Jelasnya, empat anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan kerja-kerja memadam kebakaran dan menyelamat mangsa.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati terdapat sebuah Toyota Land Cruiser yang melanggar tiang Telekom hingga menyebabkan kenderaan tersebut terbakar.
“Pemandu terbabit telah keluar dari kenderaan itu dengan bantuan orang awam sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zaki menambah, pasukan bomba kemudian membuat pemadaman sehingga kebakaran terkawal sepenuhnya.
Katanya, tiada kenderaan lain terlibat dalam kemalangan itu.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.08 tengah hari,” katanya. ā DayakDaily