Oleh Chris Bishop
KUCHING, 16 Dis: Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) hari ini melancarkan laman sesawang rasmi sebagai usaha untuk bergerak ke hadapan menuju dunia digital.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, laman sesawang lakmns.org.com akan menjadi satu jaringan perhubungan antara badan amanah itu dengan masyarakat luar, khususnya masyarakat Islam di Sarawak.
“Meskipun menghadapi pelbagai cabaran semasa, Lembaga sentiasa memastikan badan amanah ini sentiasa relevan dengan menitikberatkan transformasi minda di kalangan kakitangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan aluan di majlis pelancaran yang disempurnakan Setiausaha Kehormat LAKMNS Tan Sri Bujang Mohd Nor.
Abang Abdul Wahap menyifatkan pelancaran laman sesawang itu sebagai satu permulaan baik bagi LAKMNS ke arah visi dan misi yang baharu.
“Lembaga akan sentiasa bergerak ke hadapan sejajar dengan visi baharu Lembaga iaitu ke arah sebuah badan amanah Islam bertaraf dunia,” ujar beliau.
Mengulas lebih lanjut mengenai perancangan masa depan, beliau berkata LAKMNS akan mewujudkan siaran radio digital.
Katanya, radio digital tersebut bakal menjadi salah satu medium perantara masyarakat luar dengan agensi-agensi Islam di Sarawak.
Pada sidang media selesai majlis, Abang Abdul Wahap memaklumkan radio digital LAKMNS akan dilancarkan pada bulan Mac tahun hadapan. —DayakDaily.