Lagi kes mangsa ditipu ‘Macau scam’, penyelia rugi RM6,300

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

MIRI, Dis 12: Lagi kes sindiket penipuan ‘Macau scam’ di bandar raya ini dengan kes terbaharu melibatkan seorang penyelia lelaki yang kerugian sebanyak RM6,300.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kegiatan yang dilaporkan semalam itu berlaku antara November 21 sehingga Disember 3 lepas.


Menurutnya, siasatan mendapati mangsa yang berusia 31 tahun dikatakan telah menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Siti Khatija Khalid.

Jelasnya, suspek kemudian meminta mangsa untuk hadir ke mahkamah bagi menghadiri kes berkaitan pinjaman kad kredit.

“Bagaimanapun, mangsa menyatakan tidak pernah membuat sebarang pinjaman kad kredit sebelum wanita itu meminta mangsa membuat laporan menerusi telefon ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Seterusnya, talian disambungkan ke IPK Melaka sebelum nama mangsa dikatakan terlibat pula dengan jenayah penggubahan wang haram dan pengedaran dadah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa menambah, mangsa kemudian bercakap dengan seorang lelaki kononnya pegawai polis yang dikenali sebagai Tuan Azlan.

Katanya, suspek seterusnya memberitahu penyelia itu bahawa dia boleh membantu menyelesaikan kes yang dikaitkan dengan nama mangsa.

“Mangsa yang bersetuju dengan arahan suspek kemudian melakukan beberapa transaksi keseluruhan berjumlah RM6,300 ke dalam dua akaun bank yang berbeza.

“Selepas gagal menghubungi suspek selepas itu, mangsa yang sedar dirinya telah ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. — DayakDaily